suria

Kolej Vokasional Kian Jadi Pilihan Pertama Pelajar - Muhyiddin

Muhyiddin diberi penerangan secara terperinci oleh para pelajar Kolej Vokasional Sandakan ketika melakukan lawatan kerja ke kolej itu di Sandakan, Sabah. Turut sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman. - fotoBERNAMA

SANDAKAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah kerajaan menaik taraf sekolah vokasional kepada kolej berjaya menarik minat pelajar memilih bidang vokasional sebagai pilihan pertama.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata langkah naik taraf itu merupakan satu cara kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan negara dengan menyediakan lebih banyak peluang teknikal vokasional.

Katanya bidang vokasional memiliki prospek baik bagi memenuhi keperluan tenaga sumber manusia terlatih yang semakin bertambah disebabkan perkembangan ekonomi negara.

"Semua sektor ekonomi memerlukan tenaga pelatih yang ramai dan begitu juga di sektor swasta," katanya ketika berucap pada lawatan ke Kolej Vokasional Sandakan di sini Sabtu.

Beliau berkata selepas program transformasi vokasional dilancarkannya dua tahun lepas, terdapat 126,000 pelajar memohon masuk ke kolej vokasional.

"Sebab itu, ketika melancarkan program transformasi vokasional ketika itu, saya sudah bagi amaran kepada Tajuddin (Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Datuk Ahmad Tajuddin Jab), pastinya akan ramai (pelajar) tampil memohon.

"Betullah andaian saya apabila dimaklumkan terdapat 126,000 memohon masuk ke kolej vokasional dan bukan sahaja sebagai pilihan kedua tetapi sebagai pilihan pertama," kata Muhyiddin.

Katanya ia berjaya meningkatkan minat pelajar mengambil bidang vokasional sebagai pilihan pertama berbanding sebelumnya hanya sebagai pilihan kedua.

Beliau berkata berikutan kapasiti di kolej vokasional pada masa ini terhad untuk menampung permintaan yang meningkat, Kementerian Pendidikan akan memberikan peruntukan tambahan untuk membina lebih banyak kolej vokasional.

"Perkara itu sudah dibincang dalam jemaah menteri. Perdana Menteri memberi sokongan kuat untuk menambah kapasiti pelajar di kolej vokasional," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan pembinaan bangunan baharu Kolej Vokasional di Hab Pendidikan Sandakan.

Katanya Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman bagi pihak kerajaan negeri telah menyatakan persetujuan dengan kos pembinaan bangunan baharu kolej itu dianggarkan RM60 juta. - BERNAMA

Artikel Lain