suria

Kerajaan Belanja Lebih RM126 Juta Bantu 44,027 Ibu Tunggal

Rohani (tengah) bergambar selepas menyampaikan sumbangan wang BR1M 2014 kepada penerima pada majlis penyampaian BR1M Parlimen Batang Lupar di Dewan Suarah, Sri Aman di Sri Aman, Ahad. Foto BERNAMA

SRI AMAN: Sebanyak RM126.4 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk membantu 44,027 ibu tunggal dengan anak yang masih bersekolah di seluruh negara tahun lepas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Jumlah bantuan itu meningkat sebanyak RM5.2 juta berbanding tahun sebelumnya RM121.2 juta telah dikeluarkan untuk membantu 41,179 ibu tunggal, katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia siri ketiga (BR1M 3.0) untuk Parlimen Batang Lupar di sini, Ahad.

Beliau berkata, sebanyak RM40.05 juta turut dikeluarkan tahun lepas untuk membantu 17,834 buah keluarga ibu tunggal miskin.

"Bantuan-bantuan ini dibuat bagi memastikan golongan ibu tunggal sentiasa mendapat pembelaan yang sewajarnya agar masa depan mereka lebih terjamin," kata Rohani yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar.

Beliau berkata, selain daripada bantuan kewangan sebuah Kompleks Penyayang yang berkonsepkan pusat sehenti akan beroperasi di sini tidak lama lagi.

Kompleks dua tingkat ini nanti akan menempatkan semua pejabat agensi di bawah kementerian bagi memudahkan orang ramai berurusan terutamanya berkaitan dengan hal-hal kebajikan, katanya.

Rohani berkata, kompleks yang mempunyai 32 bilik tersebut akan turut menyediakan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) untuk dijadikan sebagai projek perintis sebelum pihaknya membuka pusat tersebut di seluruh negara.

rohani abdul karim, ibu tunggal

Artikel Lain