KLANG: "Saya reda dengan pemergiannya," kata Salmah Nordin, isteri Allahyarham Koperal Raja Aizam Raja Mohd, berhubung tragedi yang meragut nyawa suaminya selepas diserang sekumpulan warga asing di sini awal hari Selasa. Luahan kata-kata itu disampaikan kepada media oleh anak saudaranya yang enggan dikenali selepas Salmah, 50, masih trauma dengan kejadian itu dan tidak dapat berdepan dengan orang ramai buat masa ini. Jenazah Raja Aizam disembahyangkan di Surau Ar-Rahimiah, di kediamannya di Pangsapuri Polis Taman Seri Andalas di sini 4.20 petang sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Perak untuk dikebumikan. Sepupu Allahyarham Raja Aizam, Norhasrulnizam Mohd Isa, 38, ketika ditemui berkata beliau menerima berita tragedi itu ketika mahu mula bekerja pagi tadi dan amat terkejut sebelum bergegas dari Wangsa Maju ke Klang. Beliau tidak menyangka insiden seumpama itu menimpa saudaranya sendiri dan menyifatkan arwah Raja Aizam sebagai seorang yang sangat baik dan peramah semasa hayatnya. "Arwah yang saya kenal amat meminati pasukan beruniform menyebabkan beliau memilih menjadi polis. Arwah sudah berkhidmat lebih 20 tahun dan saya amat sedih menerima berita pemergiannya," katanya. Menurutnya, Raja Aizam telah lama menetap di Klang dan arwah mempunyai empat anak berumur 17 hingga 25 tahun. Kesemua anak arwah enggan ditemu bual kerana masih terkejut di atas tragedi yang menimpa bapa mereka. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya mengucapkan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada seluruh keluarga Allahyarham Raja Aizam dan menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar dalam pasukan keselamatan. Beliau yang turut bersedih di atas tragedi itu berkata, polis akan menghulurkan bantuan-bantuan lain kepada balu Allahyarham selain tabung bantuan pasukan yang diserahkan kepada keluarga itu. Dalam kejadian di Taman Sentosa di sini 5 pagi, Raja Aizam, 53, dan rakan setugasnya, Koperal Mohd Aidil Mustafa, 29, bergelut dengan sekumpulan warga asing setelah diserang hendap kumpulan berkenaan ketika melakukan rondaan di kawasan perumahan itu. Berikutan pergelutan itu, Raja Aizam cedera di kepala dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah manakala Mohd Aidil cedera di muka dan masih menerima rawatan di hospital yang sama.