suria

Anak Bekas Ketua Menteri Sarawak Terlepas Hukuman Penjara

Mahmud Abu Bekir Abdul Taib.

KUALA LUMPUR: Anak bekas Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib pada Khamis terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini menolak permohonan bekas isterinya berhubung notis tunjuk sebab berkaitan pelanggaran perintah bayaran nafkah sementara anak tunggal mereka.

Hakim Syarie Azzeman Omar membuat keputusan itu selepas menerima hujahan dan afidavit pembelaan Mahmud Abu Bekir, seorang ahli perniagaan, mengenai notis tunjuk sebab berhubung perkara itu.

Azzeman berkata Shahnaz Abdul Majid, 51, selaku pemohon telah memprejudiskan bekas suaminya itu dan menyalaharahkan mahkamah.

"Perintah komital atau perintah memenjarakan tidak boleh dilaksanakan selagi kes yang difailkan Mahmud Abu Bekir, selaku responden untuk mengenepikan perintah bayaran sementara itu selesai," katanya.

Shahnaz memfailkan notis tunjuk sebab itu pada 11 April 2013 selepas mendakwa Mahmud Abu Bekir, 51, melanggar perintah mahkamah kerana tidak membayar tuntutan nafkah interim sebanyak RM902,746.69 yang diperintah Mahkamah Syariah tahun lepas.

Shahnaz memfailkan permohonan nafkah interim secara sebelah pihak untuk membiayai kos pelajaran anak tunggal mereka, Raden Murya, 21, yang sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom.

Pada 26 Feb tahun lepas, mahkamah mengarahkan Mahmud Abu Bekir membayar nafkah interim itu.

Bagaimanapun, pada 26 Mac tahun lepas, Mahmud Abu Bekir telah memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah bayaran nafkah interim itu.

Tuntutan nafkah interim itu adalah sebahagian daripada tuntutan nafkah sebanyak RM121 juta oleh Shahnaz.

Kes itu belum dijalankan di Mahkamah Syariah.

Shahnaz, yang juga kakak penyanyi Shiela Majid, turut memfailkan tuntutan mutaah berjumlah RM100 juta dan tuntutan harta sepencarian sebanyak RM300 juta, yang masih dalam proses perbicaraan.

Pasangan itu bercerai pada 11 Mei 2011 selepas 19 tahun berkahwin. - BERNAMA

Artikel Lain