KUALA LUMPUR: Felda menyediakan peruntukan tambahan RM100 juta bagi skim pinjaman program pembesaran rumah untuk 12,000 penerokanya tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata setakat ini, 100,000 peneroka mendapat manfaat daripada kemudahan pinjaman tanpa faedah yang diwujudkan sejak tahun 2005 itu. Beliau berkata pinjaman dengan jumlah maksimum RM40,000 itu akan dipertimbangkan kepada peneroka yang layak bagi membina semula atau mengubah suai rumah di tanah rancangan. "Peneroka yang belum pohon bolehlah pohon pinjaman yang teristimewa dan yang terbaik di dunia ini," katanya ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Semai Bakti Felda 2013 di Menara Felda di sini, Khamis. Turut hadir isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. Najib berkata warga Felda juga tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan yang diperoleh selama ini kerana ia perlu dipertahankan dan dipertingkatkan lagi. "Selama 58 tahun, kita semua dapat menyaksikan bagaimana Felda sebagai satu komuniti melakukan perubahan yang besar kepada setiap keluarga Felda sama ada dari segi paras pendapatan, taraf kehidupan, rumah kediaman dan kemudahan infrastruktur," katanya. Pada majlis itu, Najib menyampaikan Pingat Semai Bakti kepada 18 kakitangan Felda yang menyumbang kepada kecemerlangan organisasi itu secara berterusan. - BERNAMA