KUALA LUMPUR: Penjual rokok haram kini akan 'dilayan' seperti penjenayah lain dan ditahan sehingga tujuh hari sekiranya mereka ditangkap. Jabatan Kastam turut menekankan supaya hukuman maksimum dikenakan terhadap mereka berikutan kebimbangan mengenai Malaysia yang kini berada di kedudukan nombor satu dunia bagi penjualan rokok. Sesiapa yang ditangkap menjual barangan seludup berhadapan dengan penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga 20 kali ganda nilai barang yang disita atau kedua-duanya di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. Mereka yang mengulangi kesalahan itu menghadapi penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga 40 kali ganda nilai barangan tersebut. Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Ahmad Khazali berkata, jabatan itu akan mendesak supaya hukuman penjara adalah wajib bagi pesalah sebagai langkah pencegahan. "Ketakutan untuk dipenjara adalah pencegahan terbaik bagi melumpuhkan perdagangan rokok haram di negara ini. Kami mahu menghentikan jualan dan penggunaan barang seludup," katanya pada sidang media selepas melancarkan operasi yang digelar Ops Outlet di seluruh negara, Rabu. Khazali berkata, perdagangan haram telah memperuntukan kos duti tidak berbayar RM1.9 bilion setiap tahun kepada kerajaan dan jabatan itu membentuk 44 pasukan khas untuk menjalankan pemeriksaan dan serbuan ke atas kedai yang disyaki menjual rokok haram. "Pada masa ini, 35% daripada jumlah rokok yang dijual di negara ini adalah produk haram. Di bawah Ops Outlet, kami menyasarkan untuk mengurangkan bilangan tersebut kepada sekurang-kurangnya 30% pada tahun ini, " katanya. Walaupun operasi itu memberi tumpuan kepada peruncit, Khazali berkata, mereka yang ditangkap kerana membeli atau memilikinya secara haram akan menghadapi hukuman yang sama.