KUALA LUMPUR: Dalam usaha berhemat menggunakan air, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada Khamis menasihati penduduk yang terbabit dalam catuan penggunaan air supaya mengehadkan penggunaannya kepada 170 liter sehari bagi setiap individu. Jurucakap Syabas berkata purata penggunaan air oleh pengguna ketika ini dilihat terlalu tinggi iaitu mencecah 214 liter seorang. "Jika dibandingkan pengguna air di Singapura yang hanya menggunakan 160 liter seorang sehari, kami berharap pengguna dapatlah berjimat cermat menggunakan air," katanya. Syabas turut meminta orang ramai supaya bersabar dengan bekalan air yang lewat tiba di kawasan mereka terutamanya perumahan di kawasan tinggi dan berbukit. Beliau menjelaskan pengaliran air mungkin mengambil masa untuk tiba di lokasi perumahan yang jauh berikutan pergerakan air dipengaruhi oleh tarikan graviti. Ditanya mengenai catuan air fasa ketiga, jurucakap itu berkata pihak Syabas masih membincangkannya termasuk membentangkan pelan itu kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara. Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Kedua, yang melibatkan 413,617 rumah di 260 kawasan, masuk hari kelima sejak dilaksanakan Ahad lepas. - BERNAMA