KAJANG: Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jumaat berkata kenyataannya berhubung status bujang calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun baru-baru ini, hanya gurauan semata-mata. Bagaimanapun gurauannya "Chew Mei Fun mungkin akan menamatkan status bujang sekiranya menang PRK Kajang" sengaja diperbesarkan oleh Pakatan Rakyat, terutama PKR, katanya. "Ini kerana mereka tahu Chew adalah calon yang baik. Saya kenal rapat dengannya, ia (hanya) perbualan dalam satu keluarga tempoh hari, hanya untuk suka-suka...ini bukan satu penghinaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Karnival Pendidikan dan Kerjaya Parlimen Hulu Langat di sini Jumaat. Rabu lepas, sebuah akhbar berbahasa Mandarin melaporkan bahawa Shahrizat ketika memperkenalkan calon BN untuk DUN Kajang itu, dalam program Wanita BN bersama penduduk, berkata dalam nada bergurau Chew mungkin akan menamatkan status bujangnya sekiranya menang dalam PRK 23 Mac ini. Gurauan itu kemudian diulas oleh anggota DUN Bukit Lanjan daripada PKR, Elizabeth Wong Keat Ping sebagai kononnya kenyataan mendiskriminasikan wanita bujang dan mencabar Chew supaya meminta Shahrizat tampil meminta maaf. Shahrizat berkata: "Pada saya, apabila pembangkang memperbesarkan isu ini, ia menunjukkan mereka benar-benar terdesak, terutama Elizabeth Wong." Sementara itu, Shahrizat berkata pihaknya yakin dengan pengalaman politik serta keperibadian Chew yang baik dapat menarik lebih banyak sokongan daripada penduduk di Kajang, terutama wanita. "Beliau (Chew) seorang yang berintergriti dan berprinsip serta pernah bersama-sama dengan saya menerajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini...saya yakin dengan kepemimpinan beliau dapat memberi khidmat terbaik kepada penduduk Kajang," katanya. Chew, 50, yang juga naib presiden MCA dan bekas timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dilaporkan bakal berdepan dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta calon bebas iaitu bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil Kajang 23 Mac ini. - BERNAMA