suria

Penggunaan istilah 'Allah' Dalam Komik Ultraman Punca Pengharaman

Penggunaan istilah 'Allah' dalam komik 'Ultraman The Ultra Power' dipercayai menjadi punca ia diharamkan oleh (KDN) pada Khamis.

PETALING JAYA: Penggunaan istilah 'Allah' dalam komik 'Ultraman The Ultra Power' dipercayai menjadi punca mengapa ia diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Agensi berita nasional (Bernama) pada Khamis melaporkan yang KDN telah mewartakan Perintah Larangan Penerbitan terhadap buku 'Ultraman The Ultra Power', yang didapati mengandungi unsur-unsur yang boleh memudaratkan ketenteraman awam.

Buku dalam bahasa Melayu itu adalah terbitan Resign Publications, manakala pencetaknya ialah Network Printers.

Mengikut kenyataan kementerian itu warta larangan itu berkuat kuasa sejak 18 Februari lalu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Adalah menjadi satu kesalahan mengikut subseksyen 2 Seksyen 8 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekiranya mana-mana orang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam miliknya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan," demikian menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun Bernama dalam laporannya tidak menyatakan apakah yang menjadi punca kepada pengharaman penerbitan tersebut.

Tetapi kini adalah difahami punca kepada pengharaman itu adalah penggunaan istilah 'Allah' pada salah satu karakter Ultraman yang dipaparkan dalam buku komik itu.

Dan salah satu dialog yang terdapat dalam buku komik itu menyebut; "...Beliau (ultraman) dianggap sebagai dan dihormati sebagai Allah atau elder semua wira ultra...".

Kata satu sumber dari KDN kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat; "Ternyata amat jelas sekali penggunaan istilah Allah yang dirujuk pada satu karakter atau watak dalam siri komik ultraman itu boleh membawa kekeliruan kepada kanak-kanak yang beragama Islam yang membacanya. Kepada penganut agama Islam 'Allah' tidak berwajah atau menyerupai mana-mana makhluk. Oleh yang demikian KDN berhak dan harus bertindak sebelum ia menjadi bahan bacaan umum yang meluas."

Menurut pegawai itu, mereka yang disabitkan melakukan kesalahan menerbitkan bahan bacaan seperti ini boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel Lain