SEPANG: Gerak-geri dua penumpang misteri yang menaiki pesawat Malaysia Airlines MH370 menggunakan pasport palsu berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata rakaman CCTV itu akan digunakan untuk siasatan oleh jabatan tersebut. "Kami ada rakaman CCTV dari permulaan daftar masuk sehingga ke balai berlepas," katanya pada sidang media di sini Ahad. Seorang lelaki warga Itali, Luigi Maraldi yang namanya disenaraikan sebagai penumpang menaiki penerbangan tersebut, sebenarnya tidak menaiki pesawat itu. Terdapat individu lain menggunakan pasport Maraldi untuk menaiki pesawat tersebut. Menurut laporan akhbar di Itali yang memetik Kementerian Luar Itali sebagai berkata, pasport Maraldi telah dicuri pada Ogos tahun lalu di Thailand. Akhbar harian London, Mirror melaporkan bahawa terdapat penumpang kedua yang berada di dalam penerbangan itu turut menggunakan pasport yang dicuri. Pihak berkuasa Austria mengesahkan bahawa Christan Kozel "selamat dan berada dalam keadaan baik. " Kozel memberitahu akhbar Austria, De Standard bahawa pasportnya telah dicuri ketika berkunjung ke Thailand dua tahun lalu.