KAJANG: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah dipilih sebagai calon untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada 23 Mac ini. Dalam satu sidang media di pusat operasi PKR pada Ahad, Anwar yang juga suami kepada Wan Azizah berkata keputusan itu dibuat selepas rundingan dengan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat. "Selepas mencapai persetujuan dengan beberapa rakan dalam Pakatan Rakyat , kami bersetuju memilih Wan Azizah sebagai calon baharu," katanya. Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kosong apabila penyandangnya, Lee Chin Cheh meletak jawatan secara tiba-tiba pada Januari lalu.