Ketua Pengawai Operasi MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata syarikat itu akan bekerjasama rapat dengan kerajaan China dan agensi berkaitan untuk mempercepatkan pengeluaran pasport serta visa kepada anggota keluarga penumpang untuk menaiki penerbangan ke negara ini.
Bagaimanapun, beliau berkata butiran ketibaan penerbangan mereka adalah rahsia.
"Ini bertujuan melindungi privasi dan kesejahteraan keluarga ketika melalui waktu yang sukar ini, selain menghormati ruang mereka. Tugas kami adalah tidak mendedahkan apa jua maklumat berkaitan penerbangan atau pergerakan keluarga ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.
Ahmad Jauhari berkata tumpuan utama MAS ketika ini adalah menjaga keluarga penumpang dan anggota kru MH370.
"Ini bermakna menyediakan kepada mereka maklumat terkini, kemudahan perjalanan, penginapan, makanan, perubatan dan sokongan emosi. Keseluruhan kos yang terlibat ditanggung Malaysia Airlines," katanya.
Beliau turut mengulangi bahawa syarikat penerbangan itu akan terus telus dan berkomunikasi dengan masyarakat umum menerusi media dalam semua perkara berkaitan MH370.