SEPANG: Pihak berkuasa sedang meneliti pelbagai sudut dalam siasatan membabitkan pesawat MH370 yang hilang kemungkinan pesawat itu mungkin meletup atau berkecai ketika di udara. Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan tersebut kerana pihak berkuasa sedang menyiasat dari pelbagai sudut. "Kami tidak menolak sebarang kemungkinan tetapi fokus utama adalah untuk mencari pesawat tersebut. "Teori seperti itu sedang dikaji tetapi kami perlu mengelak daripada membuat spekulasi mengenai perkara tersebut," katanya pada sidang media di sini Isnin. Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada pihak berkuasa menghadkan siasatan untuk fokus kepada dua kemungkinan itu. Dalam misi mencari pada hari ketiga, Azharuddin berkata, kawasan operasi mencari dan menyelamat telah diperluaskan ke Selat Melaka selepas mengambil kira teori pesawat itu cuba berpatah balik. "Semua agensi sedang bekerjasama untuk mencari kapal tersebut seperti yang dibincangkan. "Kira-kira 34 pesawat dan 40 kapal dari pelbagai negara menyertai misi tersebut," katanya. Beliau turut menafikan laporan bahawa sebuah pintu pesawat dijumpai dekat perairan Vietnam. "Kami sudah melakukan pemeriksaan dengan Vietnam... laporan itu tidak benar," katanya.