KAJANG: Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun dilihat antara bakal calon terawal masuk menyerahkan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang berlangsung pada Selasa. Beliau dilihat memasuki dewan pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) tepat pukul 9 pagi. Sementara itu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kemudiannya hadir ke pusat penamaan calon kira-kira pukul 9.10 pagi. Kehadiran Chew diiringi Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel, Presiden Gerakan, Mah Siew Keong serta Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan tertinggi sayap BN. Manakala rombongan Wan Azizah ke pusat penamaan calon itu diiringi suaminya yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut mengiringinya ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahimim, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.