Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Hukiang berkata walaupun terdapat laporan mengenai kritikan oleh pihak berkuasa China dan waris penumpang mengenai cara Malaysia mengendalikan operasi yang didakwa perlahan, namun perkara itu telah dijelaskan.
"Terdapat banyak kritikan tetapi bagi saya setakat ini kerajaan Malaysia telah berusaha keras dalam menjalankan operasi mencari dengan kerjasama kerajaan China berikutan desakan daripada anggota keluarga penumpang.
"Saya telah bercakap dengan wakil media China, saya katakan bahawa kerjasama mencari dan menyelamat setakat ini dijalankan dengan teratur.
Huang berkata kerajaan China juga amat menghargai usaha dilakukan oleh kerajaan Malaysia termasuk bantuan kepada waris penumpang yang berada di sini dan juga Beijing.
Terdapat 152 penumpang warganegara China termasuk seorang bayi dalam pesawat berkenaan yang sehingga kini masih belum diketahui nasibnya.
Dalam pada itu, Huang juga berharap pihak terlibat terutama waris penumpang terus bersabar dan berdoa agar pesawat berkenaan dapat ditemui.
"Dalam waktu sukar ini kita patut berkongsi beban ini, kami menghargai usaha kerajaan Malaysia setakat ini dan kami akan memberikan kerjasama mungkin sehingga semua ini selesai.
"Kita perlu tenang, sabar kerana terdapat banyak perkara di luar pengetahuan manusia. Apa juga kemungkinannya, kita perlu tunggu dan berdoa," katanya.