suria

Penyokong BN Saran Hukum Anggota Parlimen Pembangkang Tidak Hadir Sesi

Denda dan hukuman untuk beri pengajaran - Azalina
KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan mencadangkan agar semua wakil rakyat pembangkang yang tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat hari ini dihukum dan didenda.

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berkata langkah itu sebagai memberi pengajaran kepada mereka kerana tidak bersikap profesional dan hanya mementingkan diri.

"Ini bukan wakil rakyat mithali. Konon tidak puas hati dengan keputusan mahkamah. Ini umpama marahkan nyamuk kelambu dibakar," katanya semasa membuat celahan pembentangan usul menjunjung kasih titah diraja oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad (BN-Johor Baharu), di Dewan Rakyat di sini.

Semua 89 anggota parlimen pembangkang tidak menghadiri sesi hari ini.

Sebelum ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) dilapor meminta semua wakil rakyat pembangkang memboikot sesi Parlimen pada 11 Mac dan sebaliknya turun ke Kajang bagi menyatakan sokongan kepada calon PKR pada hari pencalonan pilihan raya kecil dewan undangan negeri itu.

Boikot itu sebagai membantah hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan terhadap beliau selepas mendapati Anwar bersalah dalam pertuduhan liwat pada Jumaat lepas.

Sementara itu, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) yang turut membuat celahan berkata ketidakhadiran anggota pembangkang tersebut satu pemerkosaan demokrasi kerana tidak mengendahkan mandat yang diberi oleh rakyat.

"Kalau betul mereka boikot sidang hari ini kerana ingin ke Kajang, kita minta rakyat Kajang pula boikot mereka kerana gagal jalan tugas sebagai wakil rakyat yang dipilih," katanya.

Seorang lagi penyokong kerajaan, Mas Ermieyati Samsuddin (BN-Masjid Tanah) terkejut dengan ketidakhadiran anggota parlimen pembangkang dan menyifatkannya "memalukan" serta memberi contoh buruk kepada golongan muda khususnya.

"Kalau mereka bagi alasan hadir ke penamaan calon di Kajang, saya ada tadi. Tapi tidak ramai pun mereka di sana. Jadi di manakah mereka sebenarnya? Mungkin masih berselimut," katanya. 

Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parlimen, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata kes mahkamah tersebut hanya membabitkan Anwar dan individu yang menuduh beliau.

"...mengapa perlu boikot sidang? Apa relevannya? Nyata mereka tidak menghormati peraturan dan undang-undang," kata Anggota Parlimen Tambun itu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Mutalib berkata pula tindakan pembangkang itu bukan sahaja tidak menghormati Dewan, tetapi juga tidak sensitif dengan keadaan semasa ketika negara ditimpa musibah kehilangan pesawat MH370.

Bagaimanapun kata Anggota Parlimen Maran itu ketiadaan anggota parlimen pembangkang memberi peluang kepada lebih ramai penyokong kerajaan mengemukakan soalan dalam sesi soal jawab lisan, terutama apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri hadir bagi menjawab soalan yang dikemukakan kepada beliau. 

Dalam sesi itu pembangkang sepatutnya mengemukakan empat soalan kepada kementerian yang berkaitan termasuk oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) yang bertanyakan tentang Pelan Perdamaian Kebangsaan kepada Perdana Menteri.
bn, pembangkang, parlimen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain