KAJANG: Barisan Nasional (BN) tetap tidak akan berlembut dalam menghadapi serangan parti lawan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang walaupun penyertaan Datuk Seri Anwar Ibrahim diganti isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertembungan dua calon wanita pada PRK ini bukan alasan untuk parti itu menggunakan pendekatan defensif tanpa menyerang balas. Walaupun mengakui terpaksa menukar strategi selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan penyertaan Wan Azizah yang juga Presiden PKR dalam PRK DUN Kajang, Muhyiddin berkata perkara itu tidak melemahkan jentera pilihan raya BN. "Kita kena ubah sedikit strategi (lepas Anwar tidak bertanding), tapi itu bukan halangan kepada kita. "Kempen secara ofensif tetap akan digunapakai...kita ada banyak bahan yang perlu dimaklumkan kepada rakyat mengenai kelemahan pentadbiran (kerajaan Selangor) dan perbalahan sesama mereka," katanya pada sidang media di pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) pada Selasa. PRK DUN Kajang menyaksikan saingan satu lawan satu antara BN dan PKR. Saingan berkenaan menyaksingan pertembungan dua pemimpin wanita berpengaruh daripada kedua-dua parti politik. Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun akan mewakili BN manakala Wan Azizah yang juga Presiden PKR mewakili partinya. Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun BN masuk bertanding di DUN Kajang sebagai calon 'underdog', ia tidak menghalang parti itu untuk memberi saingan yang hebat kepada PKR. "Kita tahu BN akan hadapi tentangan hebat. Tapi itu bukanlah satu halangan atau kesulitan...kita juga ada strategi tertentu yang disesuaikan mengikut perkembangan semasa. "Jentera kita juga sudah bersedia dari awal untuk menghadapi parti lawan," katanya.