suria

Pencarian MH370 Meliputi Kawasan Seluas 27,000 Batu Nautika Persegi

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) ketika sidang media terkini mengenai kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Sepang, Rabu. Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Hari kelima misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang diperluaskan kepada dua kawasan, meliputi kawasan seluas kira-kira 27,000 batu nautika persegi, kata Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata operasi mencari di Selat Melaka meliputi 12,425 batu nautika persegi sementara pencarian di Laut China Selatan melibatkan kawasan seluas 14,440 batu nautika persegi.

"Empat puluh dua kapal dan 39 pesawat telah digerakkan bagi mencari MH370," katanya dalam satu sidang media di Sepang Rabu.

Beliau berkata 12 negara menyertai pencarian itu dengan India, Jepun dan Brunei adalah negara terbaharu menyertai usaha itu.

"Ini adalah operasi antarabangsa. Kami berterima kasih dengan kerjasama rakan-rakan dan jiran kami, dan kami mengalu-alukan bantuan kesemua pakar," katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa juga membawa masuk lebih ramai pakar untuk menganalisis kedua-dua data awam dan ketenteraan. 

Hishammuddin juga menjamin kerajaan akan terus berusaha untuk mencari pesawat yang hilang itu.

Pesawat MH370 yang menuju ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang setelah kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada awal pagi 8 Mac lepas.

Menjawab kritikan hanya sedikit kemajuan dicapai dalam usaha mencari dan menyelamat itu, Hishammuddin berkata terdapat banyak spekulasi yang perlu dijawab dalam beberapa hari lepas.

"Kita pastikan segala isu yang menjadi bahan spekulasi disiasat. Kami konsisten dan telus kepada media dan orang awam. Yang lebih penting adalah kepada keluarga-keluarga," katanya.

Hishammuddin berkata operasi pelbagai negara itu adalah satu peringkat kerjasama yang berbeza.

Menjawab spekulasi bahawa Kerajaan Malaysia menyembunyikan maklumat pesawat yang hilang itu, beliau berkata Kerajaan Malaysia menyelaras operasi itu dengan pelbagai negara dan ini bukanlah suatu yang mudah.

"Terlalu banyak kapal dan pesawat, terlalu banyak negara untuk kami selaraskan selain daripada kawasan yang luas untuk dicari, tetapi kami tidak akan berputus asa," katanya.

"Ya, kami berhutang kepada anggota keluarga (penumpang) dan semakin lama masa diambil untuk mencari pesawat itu, saya merasa lebih banyak berhutang kepada mereka," katanya.

Kepada soalan mengenai laporan bahawa Vietnam mengurangkan operasi mencari pesawat MAS itu di kawasan laut, Hishammuddin menafikan perkara itu malah berkata usaha mencari masih berterusan seperti biasa oleh pasukan di negara itu.

"Kerjasama kita dengan Vietnam membuat pemantauan usaha mencari dan menyelamat sebenarnya sudah sampai tahap di mana mungkin kita dibenarkan untuk masuk ke perairan atau kawasan di luar tanggungjawab Vietnam.

Nampaknya mereka tidak ada halangan memandangkan semalam satu 'nota diplomatik' telah dihantar kepada pihak Vietnam," katanya.

Artikel Lain