suria

Tugas Sukar Untuk Pasukan Mencari Dan Menyelamat

Antara 12 anggota keluarga penumpang pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac, tiba di hotel penginapan di Cyberjaya pada Selasa.
 - fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Amat sukar - itu gambar bagaimana pakar maritim menyifatkan tugas mengesan serpihan mana-mana pesawat di laut.

"Ini kerana laut amat luas dan dalam. Ia mungkin kelihatan kecil di dalam peta tetapi laut adalah kawasan yang amat besar. 

"Ia bukan operasi yang mudah walaupun menggunakan teknologi paling canggih. Beberapa bahagian Laut China Selatan boleh jadi mempunyai kedalaman sehingga 250 meter.

"Pada saat ini, sekiranya pesawat tersebut terhempas ke laut, ia mungkin terdampar di dasar laut,' kata bekas Ketua Jabatan Operasi Mencari dan Menyelamat Maritim, Kapten Datuk Jaffar Lamri.

Tambah beliau lagi, memandangkan pesawat itu terbang pada kelajuan tinggi, serpihan itu boleh berada di mana-mana jika ia terhempas ke laut. Semakin kecil serpihan itu, semakin sukar ia dikesan oleh radar.

Jaafar yakin, ini adalah misi operasi dan menyelamat terbesar di rantau ini dengan mengambil kira bilangan aset yang digunakan dan negara yang terlibat.

Pengarah Urusan Perunding Penerbangan Leeham Co, Scott Hamilton berkata, sekiranya pesawat tersebut mempunyai impak dentuman kuat akibat terhempas, pesawat itu akan musnah.

"Terhempas ke laut sama seperti hentakan ke tembok bata. Sentiasa ada beberapa serpihan di atas permukaan air yang dibawa arus dan angin, membuatkan operasi mencari lebih sukar untuk menentukan lokasi sebenar impak jatuhan itu," katanya kepada The Star dalam temu bual menerusi e-mel.

Beliau menegaskan ia mengambil tempoh beberapa hari sebelum serpihan pesawat Air France 447 yang terhempas di Lautan Atlantik ditemui dan rangka pesawat dan kotak hitam hanya ditemui dua tahun selepas itu.

Jelasnya, jika Emergency Locator Transmitters (ELT) dan Aircraft Communication Addressing and Reporting System' (ACARS) tidak diaktifkan di sekitar kawasan lokasi pencarian (biasanya 15 batu nautika), tiada saksi pesawat tersebut terhempat atau tiada apa-apa maklumat radar/maklumat transponder, mereka hanya boleh membuat tekaan terbaik dimana untuk memulakan operasi.

"Jika tekaan mereka silap, jadi mereka harus memperluaskan kawasan pencarian," katanya.

Beberapa pakar itu mengulas mengenai kesukaran yang dihadapi dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang hilang dari radar pada awal pagi Sabtu.

Pesawat tersebut terputus hubungan dan hilang dari radar selepas kali terakhir isyarat diterima adalah kira-kira 120 batu nautika di timur Kota Baru di perairan Laut China Selatan.

Artikel Lain