SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu berkata media antarabangsa tidak sepatutnya mengkritik Malaysia dan syarikat penerbangan nasionalnya berhubung cara mereka menangani kehilangan pesawat penerbangan MH370. "Memang mudah untuk mengkritik tetapi kita menghadapi satu keadaan yang tidak pernah dialami oleh mana-mana negara di dunia. "Jika anda kata Malaysia gagal (menangani kehilangan pesawat ini), itu bermakna Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, Singapura dan negara-negara lain (yang membantu usaha mencari dan menyelamat) juga gagal, kenapa anda tidak menyalahkan mereka juga," katanya kepada pemberita selepas menjadi anggota panel dalam program Siri Bicara Profesional bersama Tun Dr Mahathir di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini. Pesawat Boeing 777-200ER yang sedang dalam penerbangan ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Sementara itu, Dr Mahathir berkata misi mencari dan menyelamat pesawat itu dikendalikan dengan baik oleh pihak berkuasa Malaysia. Dr Mahathir berkata beliau telah melawat anggota keluarga penumpang penerbangan itu dan keperluan mereka dijaga dengan baik oleh Malaysia Airlines, kerana mereka juga memenuhi permintaan untuk menjaga sehingga lima orang bagi setiap keluarga. Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengadakan sebarang teori berhubung operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan pesawat itu kerana ia tidak membantu keadaan. "Dapatkan fakta dan jangan kita suka membuat teori, ia tidak membantu sesiapapun," katanya. Dalam perkembangan, Dr Mahathir menolak laporan yang menyatakan bahawa bahawa beliau meletak jawatan sebagai penasihat Proton. Sebelum itu, Dr Mahathir melancarkan portal alumni UiTM.