LONDON: Isu kehilangan pesawat MH370 sekali lagi menjadi laporan utama portal berita nombor satu dunia, The Mail Online pada Khamis apabila ia melaporkan yang para penyiasat Amerika Syarikat kini percaya yang pesawat Penerbangan Malaysia itu masih kekal berada di udara lebih empat jam selepas 'hilang' dari radar - sekaligus mencetuskan prospek yang ia telah menjadi mangsa rampasan pihak pengganas. Andaian ini dibuat berdasarkan data terbaru yang diperolehi daripada pesawat itu sendiri. Menurut laporan portal itu lagi, sebahagian daripada perjanjian penyelenggaraan antara MAS dengan pihak pengeluar enjin, iaitu Rolls Royce, enjin pesawat akan secara automatik memuat turun dan menghantar data pergerakan enjin kepada pihak pengeluar di Derby, United Kingdom setiap 30 minit. Hasilnya, data yang diperolehi itu menunjukkan yang kedua-dua buah enjin gergasi pesawat MH370 itu masih berfungsi dan berputar tanpa henti selama lebih empat jam lagi selepas ia dilaporkan lesap daripada radar pada awal pagi Sabtu iaitu hari ia dilaporkan hilang. Oleh yang demikian menurut The Mail Online lagi, pasukan anti-pengganas Amerika kini sedang menerokai teori tentang kemungkinan pesawat yang membawa 239 penumpang itu menjadi mangsa rampasan dan perjalanannya diubah ke satu lokasi sulit 'dengan niat untuk menggunakannya untuk tujuan lain dikemudian hari'. Portal itu melontarkan pertanyaan jika benar data yang dimuat turunkan dari enjin pesawat MH370 itu menunjukkan yang ia masih berfungsi selama lebih empat jam lagi selepas dilaporkan hilang maka ke manakah destinasi terakhirnya. Juga dipersoalkan jika itu berlaku, kenapakah ia berada di udara selama empat jam lagi tanpa alat transpondernya berfungsi. Teori yang diketengahkan kini ialah, pesawat itu berkemungkinan diambil alih dan dibawa ke satu destinasi yang belum dikenalpasti. The Mail Online juga memetik laporan sebuah akhbar bisnes, the Wall Street Journal sebagai berkata yang teori itu kini telah dibawa ke pengetahuan penasihat-penasihat keselamatan di beberapa buah agensi berkaitan di Amerika Syarikat. Dan mereka bimbang yang pesawat komersil ini jika benar jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab akan digunakan semula untuk satu misi atau tujuan lain. Setakat ini kehilangan MH370 masih menjadi satu misteri yang tidak terjawab walaupun telah masuk hari keenam usaha untuk mencarinya. Tidak juga diketahui sama ada pesawat ini telah terhempas atau pun mendarat ke satu destinasi lain. Juga tidak ada perhubungan di antara pihak berkuasa dengan pesawat tersebut sejak kehilangannya dilaporkan pada jam 1.30 pagi Sabtu. Kata The Mail Online, The Wall Street Journal memperolehi maklumat yang dimuat turun dari data enjin pesawat MH370 itu selepas wartawan mereka bercakap dengan dua sumber yang hampir dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh agensi keselamatan Amerika. Antara kemungkinan yang sedang disiasat oleh Amerika sekarang ialah untuk mengukuhkan fakta sama ada juruterbang atau mereka yang merampas pesawat itu dengan sengaja menutup alat pemancar isyarat untuk mengelaknya daripada dikesan oleh radar. Menurut para pakar, Boeing 777 itu berkemampuan untuk meneruskan perjalanan atau terus berada di udara sejauh 2,200 batu nautika lagi yang mana ini membolehkannya sampai dengan selamat di sekitar sempadan Pakistan atau Laut Arabia.