SEPANG: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mula menahan mereka yang melakukan upacara ritual yang bertentangan dengan ajaran Islam. Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jais daerah Sepang, Zaifullah Jaafar Shidek berkata, pemantauan telah dilakukan kerana beberapa individu melakukan ritual untuk mengesan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. "Apa saja yang bertentangan dengan prinsip syariah dan fatwa akan diminta untuk bersurai dan jika mereka berdegil, mereka akan ditahan," katanya pada Khamis. Beliau berkata tujuh pegawai dari jabatan itu telah dihantar untuk memantau keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). "Ini untuk mengelakkan orang ramai menjadi syirik," katanya. Apa saja yang bertentangan dengan prinsip syariah dan fatwa akan diminta untuk bersurai dan jika mereka berdegil, kami akan menahan mereka mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana doktrin palsu. Tujuh pegawai itu yang tiba kira-kira 10.30 pagi mula memantau kawasan tersebut dengan serta-merta. Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing, China terputus hubungan pada pukul 12.41 pagi Sabtu, kira-kira sejam selepas berlepas dari KLIA. Ia dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi tetapi pesawat itu masih gagal dikesan sehingga hari ini.