SEPANG: Tiga kain rentang dengan paparan mesej "Please Share Your Prayers For MH370" di Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini menjadi tumpuan orang ramai yang menurunkan tandatangan serta doa mereka untuk pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu. Sejak direntang di situ pada awal pagi Rabu, kain rentang berkenaan dipenuhi ribuan tandatangan dan doa serta harapan rakyat Malaysia agar penerbangan MH370 yang hilang sejak awal Sabtu lepas, ditemui segera. "Kami sekeluarga sentiasa berdoa agar pesawat itu kembali ke tanah air dengan selamat," kata petugas swasta Azizuddin Ahmad, 31, yang ditemui selepas menurunkan tandatangannya pada kain rentang berkenaan. Beliau yang menghantar ibunya berangkat ke Makkah bagi menunaikan umrah, berkata terlalu banyak spekulasi yang tersebar sekarang terutama di laman sosial, sekali gus menimbulkan keresahan masyarakat. "Jadi saya berharap sangat semua spekulasi itu tidak benar dan pesawat MH370 ditemui dalam keadaan semua penumpang selamat," katanya. Pandangannya dikongsi Adilah Sadri, 33, yang amat berharap suatu keajaiban akan berlaku. "(Tidak kisah berapa lama operasi mencari) janji jumpa semula. Saya turut merasai kesedihan seperti yang ditanggung oleh semua ahli keluarga penumpang pesawat yang hilang walaupun saya tidak mengenali sesiapa yang terlibat. "Harapan saya agar semuanya selamat dan doa dipanjatkan tidak mengira bangsa dan agama penumpang supaya mereka ditemui dalam keadaan yang selamat. Ikhtiar akhir kita adalah doa di samping semua usaha mencari yang giat dijalankan," katanya yang ke Beijing tahun lalu menaiki penerbangan MAS. Pesawat Boeing 777-200ER yang dalam penerbangan ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal itu hilang daripada imbasan radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi Sabtu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.