suria

Tidak Akan Putus Asa Cari Pesawat MH370 - Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussein

SEPANG: Tidak akan berputus asa dalam usaha mengesan pesawat MH370 yang hilang tatkala operasi mencari masuk hari keenam hari ini, dengan pihak berkuasa bersedia memperluaskan kawasan operasi mencari dan menyelamat.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata setakat ini tiada sebarang objek atau barangan ditemui yang ada kaitan secara langsung dengan pesawat yang hilang itu.

"Malangnya, tiada setakat ini," katanya dalam sidang akhbar harian mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat pesawat hilang itu, Khamis.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata satu-satunya petunjuk yang ada ketika ini adalah di dua kawasan yang diberi tumpuan oleh pihak berkuasa -- Laut China Selatan dan Selat Melaka. 

Beliau berkata kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diperluaskan selagi tiada serpihan atau petunjuk mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu ditemui dalam operasi berkenaan. 

"Kami akan maklumkan anda, di mana dan bila," katanya dan menurutnya lebih banyak negara dijangka terlibat dengan peluasan kawasan SAR itu. Ketika ini, negara terlibat dalam SAR ialah China dan Vietnam, dengan Thailand dan Indonesia dijangka menyertai operasi itu.

Hishammuddin berkata kini sebanyak 43 kapal dan 40 pesawat terbabit dalam operasi mencari pesawat itu di Laut China Selatan (26 kapal dan 25 pesawat) dan Selat Melaka (17 kapal dan 15 pesawat).  

"Kami amat berterima kasih dengan bantuan diterima dari seluruh dunia. Dengan setiap hari berlalu, tugas ini semakin sukar. 

"Seperti selalu, harapan dan doa kami untuk anggota keluarga semua yang berada dalam pesawat itu. Kami tidak akan mengecualikan sebarang kemungkinan dalam usaha kami mencari MH370," katanya.

Pesawat MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing iaitu kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi, 8 Mac. Ia dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Hishammuddin juga menegaskan Malaysia tidak pernah memperlahankan usaha mencari pesawat hilang itu. 

"Ada yang medakwa Malaysia telah memperlahankan usaha mencari. Ini tidak benar sama sekali. Malahan, kami semakin mempergiatkan usaha mencari. Lagi sekali, biar saya jelaskan, tiada langkah tertentu ditetapkan dalam situasi seperti ini. Pesawat telah hilang. 

"Kami memperluaskan kawasan pencarian kerana adalah menjadi tugas kami untuk memeriksa setiap petunjuk. Kami bertanggungjawab melakukannya untuk keluarga terbabit. Dan kami tidak akan berputus asa," katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata beliau telah mencadangkan kepada pihak tentera untuk mengadakan taklimat teknikal untuk media esok. Katanya ini untuk memberikan kefahaman mengenai keupayaan teknikal aset-aset digunakan dalam operasi mencari oleh Malaysia dan negara-negara asing lain.

Kepada satu soalan, Hishammuddin berkata beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap sistem radar komersial dan ketenteraan Malaysia. "...Saya yakin, dan kini ia telah disahkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Pengangkutan Keselamatan Negara (NTSB)". 

Bagaimanapun, beliau berkata operasi mencari bukan hanya membabitkan aset Malaysia malah melibatkan aset negara lain juga.

"Kita bercakap mengenai aset-aset canggih digunakan oleh AS dan China. Jadi untuk menyatakan bahawa ia hanya dipikul oleh kita sahaja adalah tidak adil kerana bantuan besar-besaran diterima dari peringkat antarabangsa. Ini sesuatu  yang perlu dibanggakan, kerana keutamaan adalah mencari pesawat," katanya.


MH370, Hishammuddin

Artikel Lain