suria

Lima Pemimpin PKR Dakwa Telefon Digodam

Fahmi Fadzil.

KAJANG: PKR menafikan pemimpin-pemimpin tertingginya menyebarkan mesej teks untuk merosakkan Pakatan Rakyat, dengan mendakwa telefon mudah alih mereka telah digodam.

Mereka ialah Timbalan Presiden, Azmin Ali; Naib Presiden, Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar, Ketua Angkata Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Para pemimpin itu mendapati telefon mereka digodam selepas diberitahu mengenai mesej teks yang dihantar berhubung kritikan terhadap pakatan, parti DAP dan PKR dalam mengendalikan pilihan raya kecil (PRK) Kajang.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata, parti itu tidak pernah menghantar mesej teks seumpama itu yang mahu memusnahkan pakatan itu.

"Parti mengutuk taktik kotor yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan niat jahat dalam mewujudkan permusuhan di kalangan parti-parti pakatan," katanya.

Tindakan menggodam itu menyebabkan mesej teks dihantar daripada pemimpin-pemimpin tertentu, antara lain, mengkritik PAS kerana tidak membantu berkempen di Kajang.

PRK Kajang, yang dijadualkan diadakan pada 23 Mac ini, akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan calon Barisan Nasional, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Kekosongan kerrusi DUN Kajang berikutan peletakan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti PKR, Lee Chin Cheh pada 27 Januari lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain