KAJANG: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak terkesan dengan penyebaran risalah yang memburukkan personaliti dan keluarganya ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. Tidak terkejut dengan tomahan itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut berkata beliau sudah kebal dengan taktik sedemikian setelah terlibat secara langsung dalam bidang politik sejak lebih 15 tahun lalu. "Tidaklah...tidak patahkan semangat saya. Dah lama saya dalam bidang ini, macam-macam lagi serangan saya terima dan lebih daripada ini," katanya ketika ditemui sewaktu berkempen di pasar malam Sungai Jelok di sini, Jumaat. Awal hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Suhaimi Shafiei berkata, PKR akan membuat laporan polis mengenai penyebaran risalah tanpa maklumat penerbit dan pencetak sejak beberapa hari lalu. Risalah empat muka itu antara lain memuatkan tujuh fakta kelemahan Wan Azizah termasuk mengenai kemungkinan bakal menjaga suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disabitkan bersalah meliwat dan dikenakan hukuman penjara. Bagaimanapun tegas Wan Azizah beliau kecewa dengan kaedah kempen sedemikian yang disifatkannya mencemarkan keharmonian kempen pilihan raya. "Ini tidak sepatutnya berlaku, kempen pilihan raya sepatutnya berlaku dengan aman dan harmoni. "Kita perlu bersihkan dunia politik dengan kempen yang sihat," katanya.