suria

MH370: Bilik Petugas Media Buat Liputan Dikunci Dari Luar Buat Sementara Waktu

SESAK…Sebahagian daripada pengamal media tempatan dan antarabangsa beratur panjang untuk masuk ke bilik sidang media bagi membuat liputan terkini mengenai kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Sabtu. -fotoBERNAMA
CYBERJAYA: Beberapa orang wartawan dikunci buat sementara waktu di dalam bilik majlis hotel tanpa pengetahuan mereka ketika sedang menonton siaran langsung sidang media oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang Sabtu mengenai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.

Kakitangan media, yang membuat liputan di tempat di mana saudara-mara penumpang dari China tinggal terkejut apabila mendapati pintu bilik dikunci dari luar sambil diperhatikan pengawal.

Wartawan 'The Star' Lee Yen Mun berkata dia mendapati pintu itu dikunci apabila cuba untuk meninggalkan bilik tersebut.

"Saya orang yang pertama pergi ke pintu selepas siaran berakhir dan mendapati bahawa pintu telah dikunci. Saya menggoncangkan pintu dan suara dari luar menjerit kepada saya supaya berhenti.

"Seorang pengawal beruniform muncul dalam masa beberapa saat dengan satu set kunci dan membuka pintu yang dikunci dari luar," katanya di sini, Sabtu.

Sekurang-kurangnya dua pengawal beruniform telah dikesan berada di luar bilik yang ditetapkan untuk kakitangan media itu manakala beberapa anggota polis tambahan mengendalikan bilik lain yang berhampiran di mana ahli-ahli keluarga berkumpul.

Wartawan juga telah dinafikan akses kepada laluan bilik ahli keluarga.

"Anggota polis bantuan memberitahu saya untuk tinggal di dalam bilik majlis (yang ditetapkan bagi media) tetapi saya memberitahu mereka bahawa saya seorang jurugambar, saya perlu berada di luar untuk mengambil gambar.

"Tiada gunanya meletakkan kami di dalam bilik manakala keluarga berada di luar," kata seorang jurugambar akhbar.

Keluarga penumpang tiba dari Beijing pada Selasa, mendapat perhatian ramai media yang menunggu mereka setiap hari di hotel untuk melihat kelibat mereka.

Mereka telah dilindungi daripada media di bawah arahan tegas daripada pegawai Malaysia Airlines (MAS), dengan anggota polis tambahan dikerahkan untuk menjaga keluarga-keluarga dari China ini.

Pada Jumaat, kehadiran media yang besar berkurangan dengan ketara selepas mereka diarahkan oleh kakitangan hotel untuk meninggalkan lobi dan diiringi ke bilik majlis terpencil pada hari sebelumnya.

Walau bagaimanapun, bilangan pemberita ramai semula selepas sidang akhbar Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seorang pegawai MAS juga mengedarkan surat merayu kepada media untuk meninggalkan keluarga penumpang bersendirian.

"Kami menerima aduan daripada keluarga-keluarga penumpang yang sebahagian dari kamu telah mengetuk pintu mereka," dakwa pegawai itu.
media, beijing, china, wartawan, kunci

Artikel Lain