suria

Festival Muzik Dibatalkan Setelah Kematian Akibat Pengambilan Dadah Berlebihan

Sebahagian daripada pembeli tiket masih menunggu di luar pintu masuk stadium.
PETALING JAYA: Penganjur Future Music Festival Asia (FMFA) tidak akan meneruskan hari terakhir festival muzik itu selepas lima orang mati akibat pengambilan dadah berlebihan pada Jumaat.

"Demi kepentingan keselamatan awam, kami telah mengambil peduli nasihat pihak berkuasa untuk tidak meneruskan Future Music Festival Asia pada hari ketiga.

"Ini juga bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan. Kami menghargai pemahaman semua pihak dan akan berkongsi maklumat terkini mengenai perkara ini secepat mungkin," kata penganjur dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Seorang pengunjung meninggal dunia di tempat kejadian di Stadium Bukit Jalil, manakala seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Tiga yang lain meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Kelima-limanya merupakan rakyat Malaysia, berumur di antara 21 dan 28 tahun.

Empat yang lain, yang mana dua daripada mereka sedang koma berada dalam keadaan kritikal di kedua-dua hospital, kata polis.

Pihak penganjur berkata mereka telah membuat laporan polis dan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

Polis telah menutup jalan menuju ke Stadium Bukit Jalil dan telah mengepung beberapa bahagian untuk mencegah penonton konsert daripada memasuki kawasan festival.

Beratus-ratus orang dilihat sedang menunggu di pintu masuk acara ini, tidak pasti sama ada mereka dibenarkan masuk atau sebaliknya.

Menurut penyanyi rap tempatan Sayla, penghibur lain yang dijadualkan membuat persembahan hari ini juga masih tidak tahu menahu tentang perkara ini.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku. Kami semua hanya melepak di belakang pentas menunggu untuk diberitahu apa yang perlu dilakukan. Kami telah dijadualkan membuat persembahan sekarang tetapi kami masih menunggu," katanya.

FMFA festival muzik terbesar di Asia Tenggara dengan anggaran 85,000 hadirin dari seluruh rantau berdasarkan tiket yang dijual telah memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Pihak penganjur berkata butiran bayaran balik akan diumumkan dalam masa satu minggu dan pembeli tiket digesa untuk log masuk ke www.futuremusicfestival.asia untuk maklumat terkini.
dadah, FMFA, konsert

Artikel Lain