SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengadakan sidang akhbar berkaitan pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, Sepang kira-kira pukul 1.30 tengah hari Sabtu selepas bertemu dengan ahli keluarga penumpang pesawat tersebut. Petugas media di hotel tersebut diminta untuk mengosongkan auditorium yang digunakan untuk sidang media sementara anggota keselamatan memeriksa bilik berkenaan. Laporan agensi berita luar negara melaporkan Boeing 777-200ER yang dikemudi oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, 27, yang membawa 227 penumpang dan 10 anak kapal mungkin dirampas. Di Hotel Everly Putrajaya, beberapa ahli keluarga penumpang MH370 sudah berkumpul di hadapan dua televisyen yang terdapat di lobi hotel tersebut.