suria

PRK Balingan Kayu Pengukur Sokongan Kepada Adenan Satem - Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (tengah) memakaikan topi Barisan Nasional kepada Yossibnosh Balo setelah diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian di Dewan Suarah Mesra Mukah Sabtu. -fotoBERNAMA
MUKAH: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian bakal membawa impak besar kepada senario politik negeri kerana ia dijadikan kayu pengukur sokongan terhadap kepimpinan baru kerajaan negeri yang diterajui Ketua Menteri Sarawak yang baharu Tan Sri Adenan Satem.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini adalah pilihan raya kecil yang pertama dihadapi Adenan maka amat penting pengundi menunjukkan tahap sokongan padu bagi memantapkan pentadbiran kerajaan negeri Sarawak. 

"Saya berharap dalam PRK Balingian, pengundi menunjukkan sokongan padu dengan memberi kemenangan kepada calon BN," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Balingian di sini Sabtu.

Bekas Pegawai Daerah Dalat Yossibnosh Balo, 47, dipilih menjadi calon BN pada PRK Balingian dengan hari pengundian ditetapkan pada 29 Mac ini manakala penamaan calon pada 17 Mac.

Kerusi DUN Balingian kosong apabila penyandang Tan Sri Abdul Taib Mahmud melepaskan jawatan ketua menteri pada 28 Feb lepas dan kini menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Muhyiddin berkata, keputusan PRK Balingian tidak akan dijadikan sebagai kayu pengukur tahap sokongan rakyat kepada BN bagi menghadapi pilihan raya DUN akan datang.

"Masih jauh lagi pilihan raya DUN tetapi semua pilihan raya kecil kita anggap penting," katanya.

Tempoh kerajaan negeri sekarang akan berakhir pada 20 Jun 2016.
Terdahulu semasa pengumuman calon BN, Muhyiddin mahu calon BN bagi Balinginan menang dengan majoriti lebih 6,000 undi berbanding lebih 5,000 undi sebelum ini. 

Dalam pilihan raya DUN 2011, Abdul Taib mengekalkan kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru menewaskan calon bebas Datuk Salleh Jafaruddin dan calon PKR Suriati Abdullah dengan majoriti 5,154 undi.

Artikel Lain