KUALA LUMPUR: Penganjur Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 akan membuat bayaran balik tiket berikutan pembatalan acara pada hari ketiga festival itu. Polis pada Sabtu mengesahkan seramai enam orang, berumur dari 21 sehingga 28 tahun, maut kerana mengambil dadah berlebihan di konsert pada festival berkenaan. FMFA, menerusi laman Facebooknya berkata, butiran mengenai bayaran balik akan diumumkan dalam tempoh seminggu. Ia berkata, atas kepentingan keselamatan awam, mereka mengikut nasihat pihak berkuasa untuk tidak meneruskan konsert. "Ini turut membantu siasatan yang sedang berjalan. Kami hargai semua pihak yang memahami dan akan mengemaskini perkara ini (bayaran balik) secepat mungkin," katanya. Tiga wanita merupakan antara enam yang maut kerana mengambil dadah berlebihan sewaktu menghadiri konsert FMFA di Stadium Bukit Jalil. Kesemua mereka dikenal pasti sebagai Kamal Zekry Basha, 22, Victor Wong E Hern, 26, Sabreena Kamaruddin, 21, M. Suresh, 28, Syazana Sohaime, 23, dan Nor Faizza Mohd Wazir, 27. Penganjur turut berkata bahawa laporan polis telah dibuat dan mereka bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam pemeriksaan dan mengenal pasti punca kejadian malang itu. "Kami mengadakan perjumpaan biasa dengan semua agensi yang terlibat di konsert termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela dan doktor perubatan dan paramedik yang disahkan di lokasi berhubung kejadian dan acara yang berlaku," katanya. Bagaimanapun, mengenai butiran mengenai bayaran balik, orang ramai boleh melayari laman web www.futuremusicfestival.asia.