KAJANG: MCA menyelar tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memutar belit kredibiliti calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun terutama dalam menyelesaikan isu pendidikan Cina. Timbalan Presidennya, Datuk Wee Ka Siong berkata MCA tidak mahu menggadai sekolah Cina jika menang dalam PRK itu seperti yang didakwa PKR. Katanya sebaliknya PKR sengaja mahu membangkitkan kembali kredibiliti Chew semasa beliau menjadi Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara dalam menyelesaikan isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Damansara. "Ketika Chew menggalas tanggungjawab sebagai MP (Anggota Parlimen), beliau serta bekas Menteri Pelajaran pada masa itu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang bertanggungjawab memindahkan sekolah itu dari tapak lama ke tapak lebih luas. "Pada masa itu kami mendapat persetujuan daripada 95 peratus ibu bapa murid-murid sebelum memindahkannya dari tapak lama yang kemudiannya kami jadikannya sebagai sekolah komuniti. "Kini tapak baru sekolah itu ada di kawasan Tropicana, Seksyen 17," katanya pada sidang media di sini Ahad. Wee berkata MCA dengan kerjasama PIBG, Lembaga Pengelola Sekolah dan beberapa badan bukan kerajaan akhirnya berjaya menaik taraf sekolah tersebut di tapak baharu dengan perbelanjaan sebanyak RM300,000. Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Timbalan Bendahari Agung PKR, Low Chee Chong semalam menyerang kredibiliti Naib Presiden MCA itu kononnya gagal dalam menyelesaikan isu membabitkan SJK (C) Damansara. Mereka juga melalui satu sidang media mendakwa sekiranya Chew berjaya menjadi anggota DUN, beliau akan menutup sekolah-sekolah Cina di kawasan itu. Sementara itu, Chew melahirkan kekecewaannya dengan fitnah yang dilemparkan oleh Pakatan Rakyat (PR) dan meminta pengundi Kajang tidak mempercayai dakyah PR kononnya beliau akan menutupi sekolah Cina di sini kerana beliau sendiri pernah mendapatkan pendidikan awal di sekolah Cina. "Saya mendapat pendidikan awal di SJKC dan kemudiannya di Sekolah Persendirian Kuen Cheng, sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Tionghua di Taiwan... mana mungkin saya akan berbuat demikian (tutup sekolah Cina). "Saya selalu juga cari pendekatan atau cara memperkuatkan lagi budaya Cina dengan budaya lain, kerana kita harus mempunyai masyarakat yang harmoni dan muhibah," katanya ketika ditemui pemberita sebelum program kayuhan basikal bersama penduduk di sini, hari ini. Katanya PR sudah hilang modal dan terpaksa memutarbelitkan isu ini untuk mempengaruhi pemikiran pengundi. "Kami BN sentiasa mengutamakan aspek berkempen secara bersih, bukannya menggunakan taktik kotor ini untuk menyerang pihak lawan... ini bukan budaya kita dalam arena politik," katanya. SJKC Damansara ditutup pada tahun 2001 setelah kerajaan membina bangunan baru sekolah berkenaan di Jalan Tropicana, Petaling Jaya. Pembinaan itu dilakukan atas permintaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu sendiri berdasarkan faktor keselamatan, kesihatan serta keselesaan dan ia dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Namun pada tahun 2008, Kementerian Pelajaran ketika itu membenarkan SJKC Damansara 'dibuka semula' supaya tapak asal sekolah tersebut boleh digunakan oleh mana-mana SJKC yang mengalami kekurangan murid.