KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Rakyat sanggup menggantikan seramai 239 penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebagai tebusan sekiranya pesawat itu memang dirampas. Ketika ditemui di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pokok Sena (PAS), Datuk Mahfuz Omar berkata jika pesawat itu dirampas, pastinya wujud perbincangan sekarang. "Apa yang kami bimbangkan adalah keselamatan penumpang. Saya sanggup menggantikan tempat penumpang dan menjadi salah seorang tebusan jika perlu," katanya. Mahfuz kemudiannya mengesahkan tawaran itu turut melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain. Ketika sesi perbahasan, Mahfuz menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menjelaskan persoalan yang masih belum terjawab berhubung misteri kehilangan pesawat itu. "Tidak menjadi masalah Parlimen menolak usul saya untuk membincangkan isu ini tetapi Perdana Menteri atau pemangku Menteri Pengangkutan perlu tampil dan memberikan penjelasan," katanya.