suria

Pencarian MH370 Bergerak Di Dua Koridor

Hishammuddin menunjukkan lokasi pencarian pesawat MH370 yang hilang pada sidang media berhubung pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, Sepang pada Isnin. - fotoBERNAMA
SEPANG: Operasi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac giat digerakkan di kedua-dua koridor utara dan selatan mulai Isnin termasuk melibatkan penggemblengan aset negara. 

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tumpuan operasi adalah seimbang di kedua-dua koridor meskipun aset negara banyak digerakkan ke koridor selatan memandangkan tidak banyak negara yang diliputi di kawasan tersebut.

"Kedua-dua koridor menjadi tumpuan, cuma koridor selatan tak banyak negara terlibat. Tak bermakna kita tak beri fokus yang sama kepada koridor utara," katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan kehilangan pesawat itu di sini, Isnin.

Koridor selatan menjangkau dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi, manakala koridor utara pula dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand. 

Pesawat MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac. 

Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata aset yang dikerah termasuk kapal peronda luar pesisir Malaysia KD Kelantan dan KD Selangor, serta helikopter Super Lynx, yang boleh beroperasi dari mana-mana kapal itu.

Katanya selain Malaysia, negara yang telah memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk Australia, China, Indonesia dan Kazakhstan.

Beliau berkata sejak 48 jam lepas, Malaysia, yang merupakan ketua penyelaras operasi mencari itu, telah mengusahakan keperluan diplomatik, teknikal dan logistik bagi pencarian MH370 melibatkan 26 negara.

Hishammuddin berkata koridor selatan dibahagikan kepada dua bahagian, berdasarkan garis pemisahan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang disertai Malaysia selaku anggota majlis. 

Beliau berkata Australia dan Indonesia bersetuju untuk mengetuai operasi mencari dan menyelamat.

Australia, katanya, telahpun menggerakkan sebuah pesawat P-3 Orion ke wilayah Kepulauan Cocos dan Pulau Christmas.

"Hari ini (Isnin), Perdana Menteri Australia mengesahkan bahawa Australia akan menghantar tambahan dua pesawat P-3 Orion dan sebuah pesawat C-130 Hercules. Sebuah pesawat P-8 Poseidon Amerika Syarikat akan terbang ke Perth hari ini untuk membantu pencarian ini," katanya.

"Dengan sokongan daripada banyak rakan antarabangsa kita, fasa baharu pencarian ini sedang dijalankan. Aset telahpun dikerah, dan operasi mencari dan menyelamat telahpun bermula. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan kita dari seluruh dunia kerana sokongan berterusan mereka."

Menjawab soalan tentang kos operasi SAR, Hishammuddin melahirkan rasa terharu kerana ia tidak menjadi perkiraan utama negara-negara yang terlibat. 

"Bagi Malaysia, ia tidak jadi pertimbangan. Setakat mana yang kita mampu kita akan pastikan ia dapat dipenuhi supaya matlamat utama mengesan pesawat dapat dijejaki," katanya.

Kepada soalan tentang harapan untuk menemui penumpang dan kru pesawat berkenaan, Hishammuddin berkata: "Hakikat bahawa tiada isyarat kecemasan, tiada nota menuntut wang tebusan dan tiada pihak mengaku bertanggungjawab, maka harapan itu sentiasa ada."








Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia