suria

MH370: Polis Nafi Gambar di Facebook Tentera AS Terlibat Misi Pencarian

Gambar yang digunakan untuk tujuan mengelirukan orang ramai.

KUALA LUMPUR: Polis pada Selasa menyangkal gambar tersebar di laman sosial Facebook kononnya tentera Amerika Syarikat (AS) di Kota Baharu, Kelantan dan di Ipoh, Perak dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.

Menurut laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), gambar tersebut merujuk kepada latihan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tentera AS yang diadakan di Lapangan Terbang Unit Udara Ipoh, Perak, pada 2012.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihat supaya tidak mudah mempercayai maklumat tidak rasmi yang disiarkan di blog-blog atau mana-mana platform media.

PDRM mengingatkan bahawa penyebaran maklumat tidak tepat adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab serta boleh menggugat ketenteraman awam.

Gambar beberapa tentera AS tersebar di Facebook dan WhatsApp dengan mendakwa tentera AS berada di Kota Baharu dan Ipoh dalam misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lepas.

Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Amerika Syarikat, PDRM, Ipoh

Artikel Berikut

Artikel Lain