KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga Indonesia dan tiga lelaki warga Sudan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa terhadap pertuduhan mengambil dadah semasa konsert Future Music Festival Asia (FMFA), di Stadium Nasional Bukit Jalil, minggu lepas. Arifiyanto, 27, dan Angga Diandry Andy dari Indonesia mengaku memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badan sendiri manakala Awap Abdualhafez Alrwfaea Abualhassan, 23, Mohamed Elzain Dafaalla Babiker Khalid, 22, dan Mohamed Abdalla Sayed Mohamed, 23, dari Sudah mengaku memasukkan dadah jenis Kanabis. Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Bergerak dan di perkarangan Stadium Bukit Jalil, di sini antara 11.50 malam, 13 Mac dan 12.30 tengah malam, 15 Mac lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan diwajibkan pengawasan sehingga tiga tahun. Media sebelum ini melaporkan enam maut termasuk tiga gadis manakala tiga lagi lelaki dalam keadaan kritikal disyaki mengambil dadah ketika menghadiri konsert itu. Sembilan lagi warga asing turut didakwa iaitu Adam Paul, 19, dari Australia; Pavin Akshay, 20, dari Mauritius; Muhammad Ahsan, 23, dari Pakistan; Fazal Mohamed, 24; Hassan Ibrahim Hayyan, 20, dan Ahmed Hayyan Majeed, 19, dari Maldives; Ng Teck Ming, 27, dan Mohamed Redzwan Sali, 26, dari Singapura; dan Tinashe Shimbo, 27, dari Zimbabwe. Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memasukkan dan memiliki dadah jenis pil dan serbuk Ecstacy, Amphetamine dan Kanabis pada waktu dan tempat yang sama. Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2)(a) akta sama, yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau boleh dipenjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. Ahmed Hayyan, Fazal, Muhammad Ahsan dan Shimbo diwakili peguam Mohd Shamril Afzan Mohamed, peguam Tania Scivetty Sandu mewakili Paul manakala tertuduh lain tidak diwakili peguam. Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menetapkan 20 Mac dan 23 April untuk sebutan semula bagi kesemua kes berkenaan sementara menunggu laporan kimia. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa.