KUALA LUMPUR: Kerajaan membelanjakan sejumlah RM15,571,755.93 bagi kos pembiayaan 20 pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan sejak tahun 2008. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perbelanjaan untuk mengadakan sesuatu PRK adalah besar bagi menampung pelbagai kos seperti cetakan kertas undi, logistik dan kos untuk melantik pegawai dan pekerja PRK. "Kosnya bukan sedikit, lebih baik kos itu dibelanjakan untuk kebaikan rakyat, (wakil rakyat) jangan suka-suka letak jawatan sebab nak bagi orang lain bertanding, sekurang-kurangnya habiskanlah penggal, ini bagi mengelak berlakunya PRK," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu. Shahidan berkata, antara PRK yang menelan kos tinggi ialah Hulu Selangor, Batu Sapi dan Sibu iaitu sebanyak RM1.2 juta; Tenang dan Sungai Limau (RM1.1 juta); manakala Galas (RM1.043 juta). Dua puluh PRK itu ialah Permatang Pauh pada 2008; Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai, Penanti, Manek Urai, Permatang Pasir dan Bagan Pinang (2009); Hulu Selangor, Sibu, Batu Sapi dan Galas (2010); Tenang, Merlimau dan Kerdau (2011); Kuala Besut dan Sungai Limau (2013); Kajang dan Balingian (2014).