KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengadakan perbincangan dengan menteri-menteri dan pegawai kanan yang berkenaan mengenai kawasan mencari pesawat Malaysia Airlines MH370. "Berbincang mengenai pencarian MH370 dengan (Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri) Hishammuddin Tun Hussein dan (Menteri Luar Datuk Seri) Anifah Aman pagi ini. "Turut hadir untuk memberikan penjelasan mengenai kawasan pencarian kita - yang telah diperluaskan kepada 2.24 juta batu persegi - ialah panglima angkatan tentera Malaysia, panglima tentera udara, polis, DCA (Jabatan Penerbangan Awam) dan MAS (Malaysia Airlines)," kata Najib dalam catatan terbaharu Facebooknya. Perbincangan itu diadakan di pejabatnya di bangunan Parlimen, dalam status Facebooknya, Najib turut berkongsi gambar semasa perbincangan itu yang menunjukkan Hishammuddin, Anifah, Panglima ATM Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Panglima TUDM Tan Sri Rodzali Daud. Misi mencari pesawat MH370 itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal masuk hari ke-12 sejak hilang pada 8 Mac semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.