suria

Saya Mahu Ambil Keputusan SPM Bersama Ayah - Anak Ketua Pramugara

Maira menerima banyak sokongan dan galakan daripada pengikut-pengikut Twitternya.
PETALING JAYA: Seringkali dikatakan bahawa cinta pertama seorang anak perempuan adalah kepada ayahnya, yang menjelaskan mengapa Maira Elizabeth Nari mahu ayahnya menemaninya pergi mengambil keputusan SPM, Khamis.

"Keputusan SPM akan keluar tidak lama lagi tetapi saya lebih bimbang tentang ayah saya. Saya berharap dia akan kembali sebelum saya mengambil keputusan," dia menulis dalam Twitter sambil meletakkan nada 'mengeluh'.

Bapa Maira, Andrew Nari adalah ketua pramugara bagi pesawat MH370.

Maira yang menggunakan akaun Twitter @Gorgxous_ telah membuatkan banyak hati tersentuh dengan mesej-mesej yang disampaikan kepada bapanya.

Pada Ahad, dia menulis tweet: "Ayah, Liverpool menang perlawanan. Pulang ke rumah, awak boleh tonton perlawanan! Awak tidak pernah terlepas menonton perlawanan. Ini kali pertama."

Maira menerima banyak sokongan dan galakan serta telah mengumpulkan seramai 41,500 pengikut di Twitter dengan 'posting' yang menyedihkan.

"Kadang-kadang anda tidak akan tahu nilai sebenar saat-saat tertentu, sehingga ia menjadi memori," tulisnya pada Isnin.

Remaja dan ahli keluarga penumpang dan anak-anak kapal MH370 yang lain juga telah mengirimkan ingatan dan berkongsi perasaan mereka dalam talian.

Izzat Nazli, anak saudara kepada krew kabin MH370 Wan Swaid Wan Ismail juga menjadi perhatian ramai yang menyatakan kebimbangannya terhadap bapa saudaranya.

Dalam akaun Twitter @onlywann Izzat berkata, keluarganya berharap yang terbaik tetapi dalam masa yang sama juga bersiap untuk berdepan saat terburuk.

"Sedangkan ibu saudara saya juga boleh menerima apa yang telah berlaku. Kami sedih tetapi (kami) perlu kuat.

"Kami sudah bersedia untuk menghadapinya. Kami masih berharap pesawat akan pulang. Teruskan berdoa," katanya.

Dia juga menulis "Malaysia sudah mula hujan, jerebu semakin hilang dan diharapkan #MH370 boleh kembali. Mengharapkan keajaiban. Allah mendengar setiap kali kita berdoa."

Bagi Afiq Abdul Hamid yang mempunyai talian adik-beradik dengan pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid, dia melahirkan rasa terima kasih untuk semua sokongan yang telah diberikan kepada keluarganya.

"Terima kasih kepada semua untuk doa dan sokongan. Ia memberikan saya kekuatan untuk bertahan dan ia menyentuh hati saya," tulisnya dalam akaun Twitter @afiqhamid .

"Saya tidak perlu mendengar khabar angin tentang dirinya apabila saya boleh menilai dirinya sendiri," katanya dalam tweet yang merujuk kepada spekulasi mengenai anak-anak kapal pesawat Malaysia Airlines.

Bagi juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah, halaman peminat di Facebook berterusan dibanjiri dengan mesej sokongan dan galakan.

"Bertahan di sana kapten! Pulanglah, jelaskan semua keraguan dan buktikan anda tidak bersalah," Rosnani Paiman menulis.

Terdapat lebih 49,000 'like' diterima untuk halaman itu.

"Kami percayakan kamu Kapten Zaharie," tulis Nora Lee.

Salah seorang penumpang yang dikenali sebagai Wong Sai Sang, 52, tidak akan berada di atas kapal jika tidak terlepas penerbangan sebelumnya.

Gk See menulis di halaman Facebooknya: "Kata orang makan durian mengimbau kembali kembali kenangan di kampung halaman. Menjelang musim durian, kami menunggu kepulangan anda."

Posting oleh Pc Kwek menyatakan: "Anda telah berjanji untuk membawa ahli-ahli koir untuk makan durian di kampung halaman anda! Jangan lupa! Cepat pulang!"

Artikel Lain