PUTRAJAYA: Satu laporan polis dibuat ke atas dakwaan palsu terhadap Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkaitan konsert Future Music Festival Asia 2014 (FMFA 2014). Setiausaha akhbar kepada menteri itu, Ahmad Fazli Ahamad Nordin dalam satu kenyataan berkata dakwaan yang kini tersebar luas di media sosial menyatakan Mohamed Nazri membuat kenyataan peribadi kepada pihak media atau individu mengenai FMFA 2014 adalah tidak benar. "Datuk Seri Mohamed Nazri menegaskan bahawa beliau tidak pernah sama sekali atau pada bila-bila masa membuat kenyataan peribadi kepada pihak media atau sesiapa pun mengenai insiden FMFA 2014," katanya di sini, Khamis. Awal pagi Sabtu lepas (15 Mac), enam orang, termasuk tiga wanita, maut manakala 14 individu dirawat di hospital akibat mengambil dadah ketika menonton konsert itu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Kesemua yang maut itu adalah warga tempatan berumur 19 hingga 28 tahun. Ahmad Fazli berkata beliau telah menerima panggilan daripada Mohamed Nazri dan mengarahkannya untuk membuat laporan polis pada Rabu. Mohamed Nazri kini berada di Berlin, Jerman, menziarahi Setiausaha Politiknya Datuk Mohamed Ismail Mohamed Othman yang sedang menerima rawatan di sebuah hospital sejak seminggu lepas. Menurut Ahmad Fazli, Mohamed Nazri amat yakin bahawa dakwaan palsu tersebut berkaitan dengan insiden FMFA 2014 itu adalah berniat jahat dan bertujuan untuk memburukkan reputasi beliau sebagai menteri dan tindakan tersebut bermotif politik. Buat masa ini, pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan. Mohamed Nazri hanya akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat berdasarkan fakta yang sahih dan tepat daripada pihak berkuasa tentang insiden malang tersebut, Ahmad Fazli.