KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan penghargaan beliau atas bantuan Perancis berkongsi pengetahuan berhubung misi mencari Penerbangan MH370 yang hilang 8 Mac lalu. Dalam entri Facebook terbaharu beliau, Najib berkata bekas ketua jabatan Penerbangan Awam Perancis Jean Paul Troadec dan duta besar Perancis di Malaysia Martine Dorance mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau di pejabatnya di Putrajaya Khamis. " (Kami) berbincang beberapa perkara berhubung (pesawat Malaysia Airlines) MH370 dengan duta Perancis Martine Dorance dan bekas ketua jabatan penerbangan awam Perancis Jean Paul Troadec yang terbabit dalam siasatan penerbangan 447 Air France, di pejabat saya," katanya. "Hargai tawaran untuk membantu dan sesi berkongsi pengetahuan," katanya. Penerbangan 447 Air France 447 dalam perjalanan dari Rio de Janeiro ke Paris dengan 228 orang dalam pesawat, terjunam ke Lautan Atlantik berdekatan Brazil pada 1 Jun, 2009. Serpihan dari pesawat yang hilang dikesan lima hari kemudian dan ia mengambil masa hampir dua tahun bagi pasukan penyiasat untuk menyelamatkan bahagian utama bangkai pesawat dan menemui rangka manusia dari dasar laut. Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang membawa 239 penumpang dan 12 anak kapal, pula hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing sejak 8 Mac dan sehingga hari ini usaha mencari dan menyelamat belum berhasil.