suria

PRK Kajang: Wan Azizah Tidak Amal Petua Kekal Bertenaga

Wan Azizah kelihatan bersemangat sepanjang kempennya. - foto NORAFIFI EHSAN/THE STAR.

KAJANG: Berbaki dua hari tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih bersemangat meneruskan 'langkah Kajang' yang dirancang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Presiden PKR itu, beliau tidak mengamalkan apa-apa petua tertentu untuk kekal bertenaga walaupun mempunyai jadual kempen yang ketat sejak disahkan bertanding pada 11 Mac lalu.

"Hanya (makan) multi-vitamin. Cukup untuk saya kekal bertenaga," katanya ringkas ketika ditemui sewaktu berkempen di Taman Kasih, Kampung Sungai Sekamat di sini, Khamis.

Sejak disahkan bertanding, isteri kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu perlu menghadiri sekurang-kurangnya sepuluh program yang dirancang jenteranya.

Bagaimanapun ia tidak termasuk jadual tambahan pada saat-saat akhir demi untuk menemui seramai mungkin pengundi DUN Kajang.

Sementara itu rutin hariannya pada waktu malam, Wan Azizah perlu menghadiri sekurang-kurangnya lima ceramah anjuran sekutu Pakatan Rakyat di sekitar kawasan Kajang.

Mengulas mengenai rutin hariannya yang padat, Wan Azizah berkata beliau gembira kerana menerima sokongan padu jenteranya walaupun terpaksa bekerja siang dan malam.

"Alhamdulillah semuanya OK. Saya masih bersemangat untuk meneruskan perjuangan 'langkah Kajang' ini.

"Ini tanggungjawab besar, saya bersyukur menerima sambutan yang menggalakkan daripada pengundi," katanya.

PRK DUN Kajang menyaksikan saingan satu lawan satu antara Wan Azizah dan calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mac ini sebagai hari pengundian bagi 38,081 pemilih biasa.


PRK Kajang, Wan Azizah, PKR

Artikel Lain