suria

Buku Mengenai Pengalaman Tun Dr Mahathir Dilancar

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan buku bertajuk 'Jejak Seorang Pemimpin: Sejarah Lisan Tun Dr Mahathir Mohamad'. -foto THE STAR
PUTRAJAYA: Buku bertajuk 'Jejak Seorang Pemimpin: Sejarah Lisan Tun Dr Mahathir Mohamad', yang sarat dengan cerita pengalaman bekas perdana menteri itu, dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Putrajaya di sini, Khamis.

Buku setebal 184 muka surat berharga RM20 itu antara lain menjawab beberapa soalan berkaitan pengurusan dan pengalaman perdana menteri keempat Malaysia itu mentadbir negara selama 22 tahun. 

Pengarah Eksekutif Yayasan Kepimpinan Perdana, Tan Sri Nik Mohamed Nik Yaacob berkata buku yang berbentuk wawancara itu membolehkan pembaca mengenali keadaan negara ini pada masa dulu, sekarang dan masa akan datang. 

"Buku ini membentangkan pemerhatian mendalam yang berguna serta tafsiran mengenai sejarah negara, dasar kerajaan serta peristiwa-peristiwa penting yang pernah terjadi pada negara ini.

"Mungkin ada antara kita yang sudah maklum mengenai perkara-perkara ini, namun kita mungkin belum mendengarnya secara terus dari mulut beliau (Dr Mahathir)," kata Nik Mohamed dalam kenyataan yang diedarkan kepada media semasa majlis pelancaran buku itu.

Turut hadir Dr Mahathir serta Ketua Pegawai Eksekutif MPH Datuk Ng Teh Chuan.

Nik Mohamed berkata antara topik atau isu yang terdapat dalam buku itu ialah cara Dr Mahathir menangani isu radikal sejurus memegang jawatan perdana menteri, keselamatan negara, politik, ekonomi, pendidikan dan hal ehwal wanita. 

Tambahnya wawancara yang dijalankan dari Oktober 2006 hingga Mac 2007 itu turut menceritakan mengenai insiden tertentu yang menjadi sejarah negara dan dari situ pembaca dapat mengetahui penjelasan serta buktinya yang sah. 

"Malah kontroversi yang pernah melanda Dr Mahathir juga menjadi satu daripada topik dalam buku ini, beliau memberi penerangan secara terus terang tanpa berbelah bagi. 

"Kesimpulannya, jilid yang mengandungi transkrip ini akan menjadi bahan rujukan yang bernilai untuk menjalankan penyelidikan mengenai kepimpinan, dasar dan sejarah," kata Nik Mohamed.

Artikel Lain