suria

Pasukan Peringkat Tertinggi Temui Keluarga Di Beijing

BEIJING: Pasukan peringkat tinggi Malaysia menemui anggota keluarga penumpang Malaysia Airlines MH370 di sini Jumaat untuk memberi taklimat kepada mereka mengenai situasi dan operasi mencari dan menyelamat pesawat itu, yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Diketuai oleh Komander Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad, pasukan itu turut dianggotai wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Jabatan Penerbanga Awam dan Malaysia Airlines.

Turut hadir dalam taklimat itu ialah Duta Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin. 

Dalam taklimatnya, Ackbal berkata kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan serta-merta diambil sejak awal lagi bagi mengesan pesawat Malaysia Airlines itu.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan Malaysia meletakkan nyawa penumpang pesawat MH370 mengatasi perkara lain dan mereka berusaha sebaik mungkin untuk mengesan pesawat dan menyelamat penumpang.

"Ini termasuk mengumpulkan pakar-pakar berkaitan, menganggarkan kelajuan pesawat selain banyak perkara lain yang dipertimbangkan," katanya sambil menjelaskan bahawa proses itu mengambil masa panjang.

Ackbal berkata operasi mencari dan menyelamat itu dilakukan di pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia pada hari pertama pesawat itu hilang.

Menurutnya usaha mendapatkan bacaan kasar data satelit berdasarkan analisis awal Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) turut dilaksanakan.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi 8 Mac.

Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Artikel Lain