KAJANG: Datuk Seri Najib Tun Razak kecewa dengan tindakan pihak pembangkang yang mempolitikkan isu kehilangn pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370. Perdana Menteri berkata, misteri kehilangan MH370 sepatutnya tidak dijadikan bahan politik semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. "Kempen pilihan raya kali ini berlangsung ketika kerajaan terpaksa mengendalikan usaha antarabangsa secara besar-besaran mencari pesawat MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal. "Marilah kita terus berdoa agar usaha ini akan berjaya dan tidak sepatutnya MH370 dijadikan isu politik kerana apa yang sebenarnya berlaku masih menjadi tanda tanya pihak penyiasat," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu. PRK DUN Kajang menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun menetang wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Kehilangan penerbangan MH370 yang menggunakan pesawat Boeing 777-200 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal, menjadi tumpuan dunia apabila hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 pagi pada 8 Mac lalu. Sehingga kini nasib pesawat itu, yang membawa penumpang dari 14 negara termasuk 38 rakyat Malaysia selain 12 anak kapal itu masih tidak diketahui.