suria

Pesawat India Sertai Misi Pencarian Di Lautan Hindi

Tentera Laut India ketika operasi carian di Laut Andaman baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Dua pesawat peninjau maritim jarak jauh India berlepas dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang pagi tadi bagi menyertai misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 di Lautan Hindi. 

Pesawat P8-I milik Tentera Laut India dan C-130J Tentera Udara India itu mampu terbang untuk tempoh yang lama selain dilengkapi peralatan elektro optronik dan peralatan penjejak infra merah yang canggih.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi India di sini Ahad, pesawat P8-I turut dilengkapi radar serta peralatan khas bagi operasi mencari dan menyelamat.

Selepas mendengar taklimat terperinci di Pusat Penyelarasan Penyelamat Aeronautik (ARCC) pada Sabtu, kedua-dua pesawat bertolak ke kawasan pencarian.

Kenyataan itu menyebut kedua-dua pesawat tiba di sini pada 21 Mac berikutan komitmen Perdana Menteri India Manmohan Singh bagi membantu Malaysia dalam pencarian pesawat MH370.

India menyertai misi pencarian itu sejak 11 Mac lepas di Laut Andaman dan Teluk Benggala dengan menggerakkan lima kapal serta enam pesawat Tentera Laut negara itu selain Pengawal Pantai India dari Markas Andaman dan Nicobarp.

Pesawat MH370, yang dalam penerbangan ke Beijing, China hilang daripada radar pada kira-kira 1.30 pagi 8 Mac di ruang udara antara Malaysia dan Vietnam, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.

Pesawat Boeing 777-200ER itu membawa 239 penumpang dan anak kapal. Operasi mencari dan menyelamat masuk hari ke-16 (Ahad).

India, pesawat, Lautan HIndi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain