suria

Taufan Gillian Dijangka Berterusan Sehingga 26 Mac

Kapal pemecah ais Xuelong dari China dalam misi mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.
PETALING JAYA: Taufan Gillian akan terus membadai selatan Lautan Hindi selama dua hari lagi, menghalang operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang.

Pengarah pusat cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata, Gillian yang kini melanda tenggara Kepulauan Cocos, mempunyai kelajuan angin sehingga 100 knot sejam (185.2k/jam) dan dijangka lemah pada 26 Mac.

"Dalam tempoh dua hari akan datang, ia (Gillian) masih mempunyai kekuatan angin taufan.

"Sehingga 26 Mac, kekuatan kelajuan maksimum akan berkurangan tetapi ia masih sangat kuat dan boleh menyebabkan kerosakan.

"Ia akan memberi kesan kepada operasi udara," katanya kepada The Star, Isnin.

Tambahnya, taufan tropika seperti Gillian mampu meniup angin kencang, menghasilkan gelombang tinggi dan laut bergelora yang teruk, bersama-sama dengan hujan lebat dan hujan batu, yang akan membimbangkan pasukan mencari pesawat.

Muhammad Helmi berkata Gillian dijangka akan lemah dengan ketara pada 28 Mac dan pada masa itu akan beralih dari kawasan semasa iaitu di selatan ke arah Antartika dengan kelajuan angin 70kp/jam.

Maklumat ini, katanya, telah disampaikan kepada Jabatan Penerbangan Awam, dan seterusnya akan disampaikan kepada mereka yang terlibat dalam misi carian dan menyelamat di Lautan Hindi.

Beliau berkata bahawa walaupun tanpa taufan, angin dan ombak di Lautan Hindi masih lebih kuat berbanding lautan di seluruh Malaysia kerana jaraknya dari garis Khatulistiwa.
Gillian, meteorologi, Lautan Hindi

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan