suria

MH370: Akhbar Dicetak Hitam Putih Tanda Berkabung

Muka Depan akhbar The Star yang dicetak dalam warna hitam putih tanda berkabung.

KUALA LUMPUR: Beberapa akhbar utama dicetak dalam hitam putih sebagai tanda media arus perdana Malaysia berkabung atas tragedi yang menimpa 239 penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dengan menyiarkan berita itu di muka depan akhbar masing-masing.

Kesemua media menyampaikan ucapan takziah ikhlas mereka kepada kaum keluarga terdekat penumpang dan anak kapal di halaman akhbar mereka.

Akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star menyebut nama-nama penumpang dan anak kapal itu mengikut bentuk angka 370 pesawat itu dan menyatakan di bawahnya R.I.P (bersemadi dengan aman) manakala News Straits Times pula memaparkan sebuah pesawat di muka depan akhbarnya dengan tajuk di bawahnya 'Goodnight, MH370'.

Akhbar harian berbahasa Melayu, Berita Harian pula memuatkan di muka depan akhbarnya berita bertajuk 'MH370 Terhempas di Lautan Hindi' dan memaparkan di bahagian atas halaman itu gambar seorang anggota keluarga penumpang MH370 di Beijing tidak dapat menahan kesedihan selepas menerima berita terkini pesawat itu.

Utusan Malaysia pula memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bahagian atas muka depan akhbar itu semasa beliau mengumumkan penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi.

Akhbar itu juga memaparkan beberapa keping gambar menyayat hati anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang menjerit dan menangis menerima berita itu.

Ia juga memaparkan grafik laluan penerbangan MH370 semasa berlepas dan melencong dari destinasinya ke Beijing melalui Laut China Selatan ke arah barat semenanjung sebelum ke Lautan Hindi.

Semasa mengumumkan tragedi yang menimpa pesawat terbabit malam tadi, Perdana Menteri berkata berdasarkan analisis baharu oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit, penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi.

Pesawat yang dalam perjalanan ke Beijing, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Pengumuman itu menamatkan penantian tidak pasti selama 17 hari dalam usaha mencari dan menyelamat yang disifatkan terbesar seumpamanya dalam sejarah membabitkan 26 negara yang menggerakkan segala sumber mereka mencari pesawat terbabit.

Spekulasi terus menyelubungi misteri kehilangan pesawat itu yang sehingga saat ini tidak menemui jawapan yang konkrit sehinggalah kotak hitam pesawat itu dijumpai.

Star, Utusan Malaysia, MH370, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain