suria

MH370: Keluarga Redha

Antara ahli keluarga penumpang dari China yang kecewa dengan pengumuman terbaharu mengenai status MH370.

PUTRAJAYA: 'Redha', hanya itulah ungkapan yang mampu diluah beberapa anggota keluarga penumpang pesawat dengan perkhabaran terbaharu berhubung nasib pesawat MH370, yang diumum berakhir di selatan Lautan Hindi, selepas hilang sejak 8 Mac lepas.

Zamani Zakaria, 56, bapa kepada Razahan, 23, berkata beliau menerima berita itu sebagai ketentuan Ilahi setelah lebih dua minggu operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

"Pencarian ini telah berakhir dan kita tidak lagi perlu menunggu dan ternanti-nanti kerana penantian suatu penyeksaan," katanya ketika dihubungi malam Isnin.

Zamani kehilangan anak serta menantunya, Norli Akmar Hamid, 33, yang dalam perjalanan untuk berbulan madu di Beijing, China.

Selamat Omar, 60, bapa kepada Mohd Khairul Amri, 29, juga berkata beliau menerima berita itu dengan hati yang redha dan terbuka.

Sementara itu di BANGI (Selangor), suasana pilu menyelubungi lobi Hotel Bangi-Putrajaya apabila segelintir keluarga penumpang warga China yang ditempatkan di hotel itu tidak dapat menahan kesedihan dan meraung.

Seorang wanita dalam lingkungan 50-an terpaksa dipapah keluar dari bilik persidangan khas oleh pegawai MAS dan sukerelawan Tzu-Chi.

"Saya mahu anak lelaki saya...dia terlalu muda untuk mati," jeritnya.

Hotel Bangi-Putrajaya ini menempatkan kira-kira 20 keluarga penumpang warga China pesawat MH370.

MH370, Beijing, China, MAS

Artikel Berikut

Artikel Lain