KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tumpuan kerajaan pada masa kini adalah untuk mencari serpihan rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi. Beliau berkata ini bagi mengesahkan tanpa ragu-ragu bahawa pesawat itu telah pun hilang di selatan Lautan Hindi walaupun ia akan mengambil masa yang lama di samping bakal menghadapi cabaran yang sukar. "Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan dalam minggu-minggu dan mungkin bulan-bulan yang akan datang ialah untuk mencari segala serpihan rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat MH370. "Tidak dapat dinafikan kawasan tersebut amat sukar dan mencabar sekali, ini bererti kita akan menghadapi dugaan dan cabaran yang luar biasa untuk mencari serpihan rangka dan objek-objek pesawat," katanya ketika membentang usul khas tragedi MH370 di Parlimen di sini, Selasa. Najib berkata kerajaan tetap komited untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan itu bagi mengesan kotak hitam pesawat MH370 yang akan memberi jawapan ke atas apa sebenarnya yang berlaku ke atas pesawat malang itu. Perdana Menteri berkata apa sahaja teori yang dibangkitkan pada masa ini mengenai kehilangan pesawat itu tidak boleh disahkan sehingga kotak hitam yang mengandungi perakam kawalan data dan perakam kawalan suara dijumpai. "(Nahas) pesawat Air France yang telah berlaku pada satu ketika dahulu memakan masa dua tahun untuk menjumpai kotak hitam apabila pesawat itu diketahui di mana ia terhempas. "Kali ini, keadaan itu lebih mencabar, walaupun memakan masa yang lama, kerajaan komited untuk meneruskan operasi SAR sehingga dapat mengesan kotak hitam pesawat MH370," katanya. Najib berkata kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada badan-badan antarabangsa dan negara-negara asing yang memberi kerjasama baik sekali dalam operasi SAR. "Apa yang kita saksikan tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan, saya ucapkan terima kasih kepada badan antarabangsa yang memberi kerjasama begitu baik sekali dan menghargai sokongan dari negara asing dan rakan-rakan kita yang tidak mungkin mereka lakukan tanpa hubungan baik Malaysia dengan negara tersebut," katanya.